Tujuh tahun tunggu mahu jadi guru
Tujuh tahun bukanlah waktu yang pendek. Sejak menyarung jubah konvokesyen pada 2013, Noor Shazleen Che Ismail, 31, sudah mempersiapkan diri untuk mengharungi dugaan sebagai guru.
Namun, tahun berganti tahun, sinar menjadi guru semakin kelam sehinggalah pada tahun lalu apabila keputusan temu duga Pegawai Perkhidmatan Pelajaran DG41 Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyenaraikannya sebagai calon simpanan.
Walaupun kaki belum menjejak tanah sekolah dan kontrak perkhidmatan belum ditanda tangan, persediaan untuk menjadi guru tetap dilakukan kerana bila-bila masa sahaja dalam tempoh sejak 26 Disember lalu, dia sepatutnya akan dipanggil.
Namun kini, sudah lapan bulan berlalu dan masih belum ada ura-ura dia akan dipanggil.
“Untuk sementara waktu ini saya dan calon simpanan yang lain hanya bekerja sementara untuk membolehkan kami menyelesaikan bayaran bulanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya berharap kami dapat dilantik dalam waktu terdekat ini, lebih-lebih lagi calon seperti saya yang sudah tiga kali ditemuduga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan isu beban guru yang kian bertambah serta kekosongan guru yang masih tidak diisi di sekolah-sekolah.
Perkara tersebut didedahkan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguran Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock yang mendakwa kekosongan guru akibat persaraan di sekolah-sekolah masih belum diisi walaupun Waran Perjawatan telah dikeluarkan.
Perkembangan itu juga menggusarkan hati pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Multimedia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Fasihah Fadzil, 31.
Dia yang sudah lima tahun menjadi guru ganti sangat berharap dapat dilantik sebagai guru tetap sebelum tempoh sah lakunya tamat.
“Apabila kami diletakkan sebagai calon simpanan, rasa lega walaupun bukan terus dilantik sebagai guru kerana bagi kami, dah separuh kaki dalam profesion perguruan.
“Namun, apabila masa terus berlalu dan masih tiada pengumuman, tak dinafikan kami risau jika tidak dilantik. Kami sangat berharap dapat dilantik dalam tahun ini juga,” katanya.
Nur Shahadah Ibrahim, 35, pula sudah tiga tahun menanti penempatan sebagai guru selepas bergraduasi pada tahun 2017, dan dalam tempoh tersebut ibu tunggal kepada dua anak itu sudah mencuba pelbagai pekerjaan untuk menampung kehidupan.
“Sebelum ini pernah jadi guru ganti dan staf sumber manusia di sebuah syarikat, tapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang dah tak bekerja. Keadaan sekarang memang susah nak dapatkan kerja, tambahan lagi saya pemegang ijazah pendidikan, banyak syarikat yang tolak permohonan saya.
“Sekarang saya buat saja apa-apa kerja yang boleh beri pendapatan. Sebab itu saya sangat harapkan panggilan sebagai guru,” katanya. – UTUSAN
