loading...

Didakwa dengan adik bunuh suami buta


 Kajang: Wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini dengan adik lelaki bagi menghadapi tuduhan bersama membunuh suaminya yang buta demi harta.

.
Kedua beradik terbabit berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
.
Mengikut pertuduhan, GS Angela Dewi, 45, bersama GS Vijaya, 42, dengan sengaja membunuh R Devarajoo di sebuah rumah di Lorong Jati 1, Rumah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua, di sini, antara 12 tengah hari sehingga 1 tengah hari pada 1 Oktober lalu.
.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan tiada pengakuan direkodkan.
.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin mengendalikan kes dan tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.
.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes.
.
Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita tergamak bersekongkol dengan adiknya untuk membunuh suaminya yang dikahwini sejak 17 tahun lalu bagi mendapatkan harta.
.
Malah, wanita itu sanggup mereka cerita kononnya suami yang buta disamun ketika berada di hadapan rumah.
.
Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas mereka ditahan polis, Sabtu lalu selepas mangsa berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.
.
Difahamkan, suspek mahu mendapatkan harta suaminya yang juga pengusaha perniagaan lori serta besi buruk membabitkan aliran tunai lebih RM2 juta dan insurans kematian mangsa berjumlah RM800,000.